‘Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’
(Kisah ini ditulis khas untuk mengingati sumbangan Allah Yarham Cik gu Abdul Samad bin Pandak Osman yang telah banyak memberikan sumbangan jasa baktinya kepada kami ( termasuk aku ) anak-anak disekitar kawasan Padang Rengas. Moga-moga rohnya dicucuri rahmat)
Aku tidak pernah lupa kenyataan di atas walaupun telah diungkapkan semenjak lebih lima puluh tahun yang lalu.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 1953. Tempatnya di Malay Boys School Padang Rengas, Perak. Ketika itu aku dalam Darjah 3 dan gurunya tidak lain daripada Allah Yarham Cik gu Abdul Samad bin Pandak Osman ( Cik gu Samad). Rupa parasnya mirip pelakon S.Kadarisman, pelakon yang seangkatan dengan P.Ramlee.
Tidak akan dapat ku lupakan peristiwa itu………..
Biasanya sebelum pulang pada pukul 1.00 tengah hari, cik gu akan mengemukakan soalan lisan kepada murid berdasarkan pelajaran yang dipelajari pada hari berkenaan. Dalam matapelajaran Ilmu Alam ( Geografi) pada hari itu, Cik gu Samad telah mengajar mengenai ‘pulau’.
Di papan hitam tertulis,
“Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’
Setiap pelajar dikehendaki menghafal kenyataan itu. Tidak ada penerangan atau penjelasan yang diberikan oleh cik gu. Setiap pelajar mesti dapat menyebut patah demi patah perkataan dalam ayat itu. Cik gu Samad akan menentukan setiap pelajar membaca kenyataan dengan suara nyaring dan kuat supaya dapat didengar oleh pelajar dalam kelas itu yang mengandungi lebih kurang 20 orang.
Pukul 1.00 tengah hari, ‘ loceng’ ( cangkul yang digantung pada tiang pagar akan dipukul dengan batang besi yang mengahsilkan bunyi yang nyaring ) akan dibunyikan. Dan bermulalah sesi soal jawab dalam kelasku itu. Siapa yang dapat menjawa dengan betul, tetapt akan dibenarkan pulang.
Kebiasaannya pelajar yang pandai atau ‘ terang hati ‘ akan balik awal kerana berjaya menjawab soalan dengan teapt. Sebaliknya pelajar yang lemah akan terus berada dalam kelas sehinggalah dapat menajwab dengan betul.
Begitulah keadaanya yang menimpa salah seorang kawan ku. Kahar namanya. ( Dengar khabar Kahar sudah berjaya dalam perniagaan menjual air tebu di Kuala Lumpur). Kahar budak baik tetapi tak berapa ‘ terang hati’. Kahar selalunya berada di tempat yang paling terkebelakang dalam kelas aku. Seingat aku, tak pernah dalam sehari yang Kahar tak pernah dirotan ( pukul secara mengajar) oleh Cik Gu. Bukan kerana dia nakal tapi kerana tak berapa ‘terang hati’. Tidak dapat menjawab soalan Cik gu Samad. Tambahan pula dia gagap. Kesian Kahar!
Pelajar yang dapat menjawab soalan Cik gu Samad akan terus pulang kerana pada petang nanti terpaksa datang ke sekolah semula untuk latihan sukan. Aku berjaya melepasi soalan Cik gu Samad dengan menyebut patah-demi patah perkataan dengan satu nafas ( macam lafaz Nikah pula!)
Pada pukul 3.00 petang aku sudah berada di sekolah semula untuk menghadhiri latihan sukan. Sebelum pergi ke padang sekolah aku melintasi kelas ku. Alangkah terkejutnya aku melihatkan Cik gu Samad dan Kahar masih berada dalam kelas. Masih menunggu jawapan yang betul dari Kahar mengenai ‘ Pulau” supaya dapat dibenarkan pulang.
Aku Nampak Kahar masih tergagap-gagap untuk menyebut ayat “Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’.
Cik gu Samad duduk di mejanya dengan rotan di tangan. Kahar berdiri di mejanya, cuba menyebut patah-patah perkataan itu. Setiap kali dia mencuba, pastinya menemui kegagalan. Begitulah seterusnya.
Cik gu Samad sudah menanggalkan bajunya. Cik gu Samad hanya memakai anak baju sahaja.Mungkin kerana kepanasan di bilik itu. Maklumlah kelas ku itu berdindingkan papan yang tidak dilicinkan dan beratap zinc. Bayangkanlah suhu kepanasannya. Bukan ada kipas angin. Penghawa dingin jauh sekali. Tenaga letrik pun tiada! Zaman penjajahan le katakana!
Tidak dapat aku bayangkan bagaimana komitednya Cik gu Samad terhadap anak muridnya. Dia mahu Kahar dapat menghafal kenyataan “ Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’ dengan tepat. Aku rasa ramai lagi guru-guru yang seangkatan dengan Cik Gu Samad yang bersikap demikian. Cik Gu Samad sebenarnya bukan sahaja mendenda Kahar tetapi mendenda dirinya juga. Bukan sahaja Kahar yang tidak dapat pulang awal tetapi Cik gu Samad juga.
Mengenangkan peristiwa ini aku akan tersenyum bersendirian dan tentunya kadang-kadang senyum dalam tangisan……
Pak abu
Thursday, February 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment