Monday, February 22, 2010

MEE LAMBUNG

Tahun-tahun 1950an, Kuala Kangsar terkenal dengan berbagai makanan yang sedanp-sedap. Cendol, Laksa Pk Ngah, rojak Pak Hasan, ice kacang kedai Panjang ( nama pemilik kedai). Kawasan tempat makan pun banyak juga. Di hadapan Setesen Bus berdekatan dengan Panggung Grand ada satu. Dekat panggung Rex satu lagi. Di Lembah tepi Sungai Perak ada juga. Dan yang berdekatan dengan jam besar terdapat deretan gerai menjual cendol.

Kini, ditempat-tempat tersebut sudah tiada lagi kawasan tempat menjamu selera. Tuan punya kedai pun dah tidak ada lagi. Pak Ngah Laksa dah meninggal. Pak Hassan pun begitu. Kononya gerai menjual meenya dikendalikan oleh cucunya.

Pendek kata begitu mewah sekali barang makanan yang terjual di Kuala Kangsar. Dan murah pula. Ice kacang ( ABC kata orang Kuala Lumpur ) hanya 10 sen semangkuk. Cendol hanya 10 sen segelas. Ice kepal ( snow-ball) hanya 5 sen. Rojak, mee rebus, mee lambung berharga 30 sen sepinggan.

Setiap kali pulang ke kampung, kerap kali aku singgah dulu di Kuala Kangsar. Mencari Mee Lambung. Maksudnya mencari mee yang rasanya mirip dengan rasa Mee Lambung yang dijual di Lembah pada tahun-tahun 1950an dulu. Masih belum berjumpa lagi. Dan mungkin tidak akan berjumpa sampai bila-bila.

Taklah sesedap mana Mee Lambung tu. Tapi bagiku Mee lambung ni istemewa. Kenapa dipanggil Mee Lambung? Sebab ketika mamak memasak mee berkenaan, dia kerapkali melambung mee ke udara, sambil mengetuk-ngetuk kualinya dengan kuat.

Antara satu lambungan dengan lambungan seterusnya, si mamak akan memasukkan rencah-rencah ke dalam mee berkenaan. Pada ketika itu salah satu rencah yang dimasukkan ke dalam mee ialah daging disamping sayur sawi. Mee yang berencahkan daging, boleh diperolehi dengan harga 30 sen!

Tentang kebersihan……..jika diukur dari kacamata kini, sememangnya tidak akan diiktiraf kebersihan gerai mee lambung ni. Namun begitu tidak pula terdengar kami mendapat sakit perut atau cirit birit disebabkan memakan mee lambung. Mungkin ada.

Kini Mee Lambung sudah tiada lagi di Kuala Kangsar. Maksudku rasanya. Puas aku mencari-cari.

Laksa Pak Ngah sudah tiada
Popiah Pak Hassan juga tiada
Ice Kacang Kedai Panjang pun dah tak ada.

Rindunya nak menikmati makanan seperti yang pernah dinikmati zaman dulu-dulu.

Pak Abu.









‘Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’

(Kisah ini ditulis khas untuk mengingati sumbangan Allah Yarham Cik gu Abdul Samad bin Pandak Osman yang telah banyak memberikan sumbangan jasa baktinya kepada kami ( termasuk aku ) anak-anak disekitar kawasan Padang Rengas. Moga-moga rohnya dicucuri rahmat)

Aku tidak pernah lupa kenyataan di atas walaupun telah diungkapkan semenjak lebih lima puluh tahun yang lalu.

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1953. Tempatnya di Malay Boys School Padang Rengas, Perak. Ketika itu aku dalam Darjah 3 dan gurunya tidak lain daripada Allah Yarham Cik gu Abdul Samad bin Pandak Osman ( Cik gu Samad). Rupa parasnya mirip pelakon S.Kadarisman, pelakon yang seangkatan dengan P.Ramlee.

Tidak akan dapat ku lupakan peristiwa itu………..

Biasanya sebelum pulang pada pukul 1.00 tengah hari, cik gu akan mengemukakan soalan lisan kepada murid berdasarkan pelajaran yang dipelajari pada hari berkenaan. Dalam matapelajaran Ilmu Alam ( Geografi) pada hari itu, Cik gu Samad telah mengajar mengenai ‘pulau’.

Di papan hitam tertulis,
“Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’

Setiap pelajar dikehendaki menghafal kenyataan itu. Tidak ada penerangan atau penjelasan yang diberikan oleh cik gu. Setiap pelajar mesti dapat menyebut patah demi patah perkataan dalam ayat itu. Cik gu Samad akan menentukan setiap pelajar membaca kenyataan dengan suara nyaring dan kuat supaya dapat didengar oleh pelajar dalam kelas itu yang mengandungi lebih kurang 20 orang.

Pukul 1.00 tengah hari, ‘ loceng’ ( cangkul yang digantung pada tiang pagar akan dipukul dengan batang besi yang mengahsilkan bunyi yang nyaring ) akan dibunyikan. Dan bermulalah sesi soal jawab dalam kelasku itu. Siapa yang dapat menjawa dengan betul, tetapt akan dibenarkan pulang.

Kebiasaannya pelajar yang pandai atau ‘ terang hati ‘ akan balik awal kerana berjaya menjawab soalan dengan teapt. Sebaliknya pelajar yang lemah akan terus berada dalam kelas sehinggalah dapat menajwab dengan betul.

Begitulah keadaanya yang menimpa salah seorang kawan ku. Kahar namanya. ( Dengar khabar Kahar sudah berjaya dalam perniagaan menjual air tebu di Kuala Lumpur). Kahar budak baik tetapi tak berapa ‘ terang hati’. Kahar selalunya berada di tempat yang paling terkebelakang dalam kelas aku. Seingat aku, tak pernah dalam sehari yang Kahar tak pernah dirotan ( pukul secara mengajar) oleh Cik Gu. Bukan kerana dia nakal tapi kerana tak berapa ‘terang hati’. Tidak dapat menjawab soalan Cik gu Samad. Tambahan pula dia gagap. Kesian Kahar!

Pelajar yang dapat menjawab soalan Cik gu Samad akan terus pulang kerana pada petang nanti terpaksa datang ke sekolah semula untuk latihan sukan. Aku berjaya melepasi soalan Cik gu Samad dengan menyebut patah-demi patah perkataan dengan satu nafas ( macam lafaz Nikah pula!)

Pada pukul 3.00 petang aku sudah berada di sekolah semula untuk menghadhiri latihan sukan. Sebelum pergi ke padang sekolah aku melintasi kelas ku. Alangkah terkejutnya aku melihatkan Cik gu Samad dan Kahar masih berada dalam kelas. Masih menunggu jawapan yang betul dari Kahar mengenai ‘ Pulau” supaya dapat dibenarkan pulang.

Aku Nampak Kahar masih tergagap-gagap untuk menyebut ayat “Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’.

Cik gu Samad duduk di mejanya dengan rotan di tangan. Kahar berdiri di mejanya, cuba menyebut patah-patah perkataan itu. Setiap kali dia mencuba, pastinya menemui kegagalan. Begitulah seterusnya.

Cik gu Samad sudah menanggalkan bajunya. Cik gu Samad hanya memakai anak baju sahaja.Mungkin kerana kepanasan di bilik itu. Maklumlah kelas ku itu berdindingkan papan yang tidak dilicinkan dan beratap zinc. Bayangkanlah suhu kepanasannya. Bukan ada kipas angin. Penghawa dingin jauh sekali. Tenaga letrik pun tiada! Zaman penjajahan le katakana!

Tidak dapat aku bayangkan bagaimana komitednya Cik gu Samad terhadap anak muridnya. Dia mahu Kahar dapat menghafal kenyataan “ Pulau ialah sekeping tanah yang dikelilingi oleh air’ dengan tepat. Aku rasa ramai lagi guru-guru yang seangkatan dengan Cik Gu Samad yang bersikap demikian. Cik Gu Samad sebenarnya bukan sahaja mendenda Kahar tetapi mendenda dirinya juga. Bukan sahaja Kahar yang tidak dapat pulang awal tetapi Cik gu Samad juga.

Mengenangkan peristiwa ini aku akan tersenyum bersendirian dan tentunya kadang-kadang senyum dalam tangisan……


Pak abu
















Hendak gugur, gugurlah nangka,

Hendak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si batang pauh,
Hendak tidur-tidurlah mata,
Jangan mengenang si orang jauh.


Masih belum mahu tidur lagi mata ini. Masih merenung keluar tingkap rumahku di No 17, Prothero Gardens, Hendon, London. Salji masih turun dengan lebatnya. Uh!...indahnya. Mungkin disebabkan asyik mengelamun melihat salji turun menyebabkan mata tidak mahu lelap.

Teringat dan terkenang musim tengkujuh di kampongku. Musim tengkujuh di kampongku tidaklah seperti di kampong-kampong di negeri Pantai Timur. Walaupun selalu hujan tidaklah berlaku banjir.

Jikalau hujan berlarutan, tidaklah dapat penduduk kampongku itu keluar menoreh. Dan tidaklah ada pendapatan mereka pada hari itu.Sememangnya kehidupan mereka adalah seperti ayam, kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Teringat aku pada keluarga Pak Cik Hamid dan Mak Cik Hasnah ( bukan nama sebenar ). Anaknya tujuh orang. Empat lelaki dan tiga perempuan. Masih kecil. Yang tua baru berumur dua belas tahun, Darjah VI belajar di Malay Boys School, Padang Rengas ( kini bertukar nama kepada Sekolah Rendah Tun Dr. Ismail, Padang Rengas).

Aku teringat, suatu hari dalam tahun-tahun 1950an, pada musim tengkujuh begini aku pergi ke rumah Pak Cik Hamid. Waktu pagi. Mereka sekeluarga sedang menikmati ‘sarapan pagi’. Ubi kayu rebus dicicah dengan kelapa bersalut garam.

Aku dipelawa untuk makan bersama. Sebenarnya aku baru sahaja lepas ‘ bersarapan’. Pisang rebus dicicah dengan kelapa juga. Sama. Bezanya mereka makan ubi sedangkan aku makan pisang.

Nampak berselera ubi kayu rebus yang dihidangkan. Ubi rebus diletakkan dalam sebuah besen besar dan kelapa yang dikukur diletakkan dalam sebuah besen yang lebih kecil. Ubi masih berkepul asapnya. Baru saja lepas di rebus. Pak Cik Hamid mempelawa supaya aku makan bersama anak-anaknya. Dan kami bergilir-gilir ‘mencubit’ ubi rebus itu dari bekas yang sama. Uh…enaknya.

Itulah sarapan yang mengalas perut saya dan keluarga Pak Cik Hamid sehinggalah samapi ‘makan tengah hari’ nanti.

Tak tahulah apakah yang akan dimakan pada tengah hari nanti. Mungkinkah gulai pucuk paku atau rebus jantung pisang bertemankan sambal belacan atau mungkin nasi yang akan bertemankan ikan kering ( tamban / bilis ) sahaja. Tak dapat hendak diramalkan…….

Pak Abu

1 comment:

princemafia said...

Assalamualaikum Pak Abu....

Saya amat menghargai coretan-coretan Pak Abu....Saya boleh sampai ke blog tuan pun melalui pembacaan saya di blog Datuk Kadir...

InsyaAllah, saya sebagai generasi muda anak dekad 1980-an akan terus mengikuti coretan tuan di blog ini selagi tuan masih sudi berkongsi kenangan tuan.

Semoga tuan terus diberi kekuatan oleh Tuhan untuk terus berkongsi kenangan dengan kami semua.

TQVM
Mohamad Sallahuddin Hashim
Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya