Tuesday, February 16, 2010

Ke mana terbangnya tempuaku sayang?
Dah merajukkah ia?

Teringat dan terkenang pada suatu ketika dahulu. Pertama kali aku menjejakkan kakiku di kampungku setelah empat tahun bertugas di luar Negara.

Oh bahagia dan seronoknya bila aku nampak Gunung Pondok yang tersergam indah kehijauan pada ketika itu. ( kini Gunung pondok sudah hilang seri kehijauannya kerana telah ‘dirogol’ oleh syarikat mengahsilkan simen).

Amat indah pemandangan di situ sekiranya lalu keretapi yang berlatarbelakangkan Gunung Pondok. Lebih mempesonakan lagi suasana pemandangn waktu petang ketika padi sedang menguning yang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. . Uh…indahnya!. Sayangnya pemandangan sedemikian kini sudah tidak ada lagi.

Dari pekan Padang Rengas ke Kampong Keroh Hilir ( kampong tempat kelahiranku ) terpaksa melalui Kampong Sungai Ati. Ketika aku menyusuri persisiran Gunung Pondok, aku toleh kekanan ke arah Kampong Pulau, sebuah kampong yang sering kita sebutkan sebagai ‘pulau Hawaii’, kerana kecantkannya. Cantik!. Dikelilingi oleh sawah padi. Itu dulu.

Bukan saja Kampong Pulau yang menarik perhatianku tetapi mataku mencari-cari rumpun buluh yang terletak berdekatan dengan Kampung Pulau. Ketika aku masih kecil, di bawah rumpun buluh itulah aku dan kawan-kawan selalu bermain sambil memerhatikan burung tempua membuat sarang. Dan di rumpun buluh inilah bergayutan sarang burung tempua.

Kini rumpun buluh sudah tiada.

Aku bertanya hati kecilku, ‘ ke manalah agaknya terbangnya tempuaku sayang….’

Hati kecilku bertanya lagi dengan penuh sayu, “ dah merajukkah ia…….?

Pak Abu

No comments: