Wednesday, February 17, 2010

Hendak gugur, gugurlah nangka,

Hendak gugur, gugurlah nangka,
Jangan menimpa si batang pauh,
Hendak tidur-tidurlah mata,
Jangan mengenang si orang jauh.


Masih belum mahu tidur lagi mata ini. Masih merenung keluar tingkap rumahku di No 17, Prothero Gardens, Hendon, London. Salji masih turun dengan lebatnya. Uh!...indahnya. Mungkin disebabkan asyik mengelamun melihat salji turun menyebabkan mata tidak mahu lelap.

Teringat dan terkenang musim tengkujuh di kampongku. Musim tengkujuh di kampongku tidaklah seperti di kampong-kampong di negeri Pantai Timur. Walaupun selalu hujan tidaklah berlaku banjir.

Jikalau hujan berlarutan, tidaklah dapat penduduk kampongku itu keluar menoreh. Dan tidaklah ada pendapatan mereka pada hari itu.Sememangnya kehidupan mereka adalah seperti ayam, kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Teringat aku pada keluarga Pak Cik Hamid dan Mak Cik Hasnah ( bukan nama sebenar ). Anaknya tujuh orang. Empat lelaki dan tiga perempuan. Masih kecil. Yang tua baru berumur dua belas tahun, Darjah VI belajar di Malay Boys School, Padang Rengas ( kini bertukar nama kepada Sekolah Rendah Tun Dr. Ismail, Padang Rengas).

Aku teringat, suatu hari dalam tahun-tahun 1950an, pada musim tengkujuh begini aku pergi ke rumah Pak Cik Hamid. Waktu pagi. Mereka sekeluarga sedang menikmati ‘sarapan pagi’. Ubi kayu rebus dicicah dengan kelapa bersalut garam.

Aku dipelawa untuk makan bersama. Sebenarnya aku baru sahaja lepas ‘ bersarapan’. Pisang rebus dicicah dengan kelapa juga. Sama. Bezanya mereka makan ubi sedangkan aku makan pisang.

Nampak berselera ubi kayu rebus yang dihidangkan. Ubi rebus diletakkan dalam sebuah besen besar dan kelapa yang dikukur diletakkan dalam sebuah besen yang lebih kecil. Ubi masih berkepul asapnya. Baru saja lepas di rebus. Pak Cik Hamid mempelawa supaya aku makan bersama anak-anaknya. Dan kami bergilir-gilir ‘mencubit’ ubi rebus itu dari bekas yang sama. Uh…enaknya.

Itulah sarapan yang mengalas perut saya dan keluarga Pak Cik Hamid sehinggalah samapi ‘makan tengah hari’ nanti.

Tak tahulah apakah yang akan dimakan pada tengah hari nanti. Mungkinkah gulai pucuk paku atau rebus jantung pisang bertemankan sambal belacan atau mungkin nasi yang akan bertemankan ikan kering ( tamban / bilis ) sahaja. Tak dapat hendak diramalkan…….

Pak Abu

No comments: