Sunday, August 30, 2009

Berbuka Puasa Di Surau

31 August 2009
10 Ramadhan 1431 - 6.13 am ( Selepas Sahur)

Sekitar tahun-tahun 1950an.

Sudah menjadi kebiasaan pada kami ( kanak-kanak ) untuk berbuka puasa di surau atau di masjid. Agak seronok dapat makan ( berbuka puasa ) beramai-ramai. Ataupun mungkin ada sebab-sebab lain yang menyebabkan hampir semua kanak-kanak dikampungku itu berbuka puasa di surau.

Apakah mungkin disebabkan tekanan kemiskinan ibu bapa yang menyebabkan mereka lebih rela membiarkan anak-anak mereka untuk berbuka puasa di surau.Kerana dengan berbuat demikian akan dapat menjimatkan sedikit perbelanjaan untuk berbuka puasa seisi keluarga. Mungkin! Mungkin tidak.

Kebiasaannya, 15 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa, kami sudah sedia duduk berbaris ( menyusuri dinding surau yang separuh siap) menunggu hidangan. Hanya bubur lambuk dengan dua butir kurma. Itu saja. Terlalu sedap bagi kami ketika itu. Apatah lagi apabila makan beramai-ramai dengan penuh gelak ketawa.Berbanding dengan hidangan berbuka puasa di rumahku kini, adalah ibarat langit dengan bumi.

Dengan penuh sabar kami menunggu beduk ( kerantung) berbunyi, isyarat berbuka puasa. Beduk akan diketuk setelah terdengar bunyi meriam dari istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Ramai penduduk di kampungku tidak tahu waktu berbuka puasa, kerana tidak ada saluran maklumat yang menyampaikannya. Hanya yang pandai membaca Jawi sahaja dapat mengetahuinya melalui "Utusan Melayu' yang hanya terdapat di kedai kampungku - Kedai Pak Haji Mohd Ali.Radio Malaya ada juga menyiarkan waktu berbuka puasa dan imsak, tetapi hanya terdapat sebuah radio sahaja di kampungku - rumah Encik Kontak ( Encik Abdul Rahman ).

Sepinggan bubur lambuk ( kami panggil kanji nasi ) dan segelas air serbat sudah cukup kenyang. Sudah bersedia untuk main kejar-kejaran - main 'polis sentri' dikawasan surau. Mungkin ini tarikan yang paling kuat untuk berbuka puasa di surau. Bukan untuk sembahayang berjemaaah. Hanya orang dewasa yang menunaikan fardhu Maghrib.

Permainan polis sentri akan berlarutan sehingga waktu Isyak dan terus sembahayang terawih.Sembahayang terawih ' penting' kerana merupakan 'syarat' untuk dapat menikmati juadah kuih selepas terawih. Tok Siak ( Pak Dahaman) telah menetapkan syarat demikian. Tidak ada bangkangan . Semua orang dewasa setuju. Dan kanak-kanak terpaksa patuh peraturan itu. Dan sembahayang kami sebenarnya bukan kerana Allah, teapi kerana hendak mendapatkan seketul dua kuih pelita!

Aturcara kami tidak habis selepas terawih, malah terus bersambung sehingga waktu sahur. Ramai dikalangan kami yang terus tidur di surau, untuk menunggu waktu sahur pula. Ada 'tugas' yang perlu dijalankan pada waktu sahur nanti ia itu mengetuk beduk (kerantung) bagi mengejutkan penduduk kampungku itu. Apabila sampai waktunya, silih berganti kami bergilir-gilir mengetuk beduk sehinggalah begitu yakin bahawa semua penduduk kampungku itu ( lebih kurang 30 buah rumah ) telah bangun untuk bersahur.

Kami pun bersurai selepas itu untuk makan sahur di rumah masing-masing. Pada ketika itu tidak bimbang untuk pergi sekolah kerana sekolah bercuti pada bulan Ramadhan. Lagi pun tidak ramai kanak-kanak di kampung itu yang pergi sekolah!

abuhasanadam